Jika Bekas Timbalan Perdana Menteri Pun Disiksa Polis, Apa Heran Dengan A.Kugan?
Dilulus terbit pada Sunday, January 25 @ 07:25:05 MYT oleh TokPenghulu


Oleh pendikargunung

"Sekali lagi kematian tahanan dalam lokap polis menimbulkan kegemparan kepada masyarakat kita. Kematian tahanan dalam lokap polis bukanlah perkara baru dalam sejarah kepolisian kita. Banyak sudah kes seumpama ini sebelumnya.



Kematian A. Kugan, 23 semasa masih ditahan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya 2 hari lepas cuma salah satu episod duka mereka yang pernah berhadapan dengan proses soal siasat polis.

Berdasarkan gambar mayat si-mati, banyak kesan siksaan dibelakang tubuh dan kaki mangsa jelas kelihatan. Bahagian belakangnya penuh calar seperti disebat atau ditoreh dengan benda tajam dan bahagian kakinya hingga ke betis berwarna merah seperti telah dipukul dengan benda keras. Walaupun mendiang A.Kuhan disyaki sebagai penjenayah adakah layak dia menerima siksaan sedemikian dalam balai polis tempat anggota keselamatan negara bertugas?

Jika A.Kugan mati dalam tahanan gerombolan mafia kita boleh menerima kematian secara sedemikian, kerana mafia itu memang kejam, tetapi bila mati dalam tahanan anggota keselamatan negara seolah-olah menunjukkan pihak keselamatan juga tidak mampu menghidupkan suasana selamat dalam premisnya sendiri. Jika di dalam balai di mana tahanan adalah tetamu polis pun tidak selamat, di mana lagi tempat kita mengharapkan diri selamat di Malaysia ini?

Kita sedar negara ini mempunyai banyak kes jenayah. Rompak, samun, rogol, bunuh menjadi berita basi dalam timbunan berita jenayah yang seperti tidak berpenghujung. Kita akur bahawa polis memang berusaha bersungguh-sungguh untuk membendung jenayah. Tapi polis juga ada prosedur tertentu dalam proses soal-siasat dan prosedur yang ada patut dipatuhi. Memang bagi menghadapi penjenayah yang hati kering, soal siasat perlu dilakukan dengan cara tegas.

Tetapi memukul dan menyiksa mereka hingga mati bukan caranya untuk membuktikan ketegasan. Tahanan mati dalam lokap polis seolah-olah orang yang disyaki penjenayah telah dihukum mati sebelum mahkamah memutuskan hukumannya. Dan yang lebih malang, hukuman mati itu dilakukan dalam premis polis - premis yang sepatutntya selamat untuk semua warganegara negara ini.

Memang selama ini proses soal siasat polis banyak menimbulkan keraguan. Berdasarkan rekod polis setakat ini terdapat 150 kematian tahanan dalam lokap polis dengan majoritinya ialah kes 'bunuh diri' (33 kes). Yang menimbulkan keraguan kepada waris mangsa ialah cara kematian dalam laporan polis yang tidak selari dengan sejarah hidup tahanan itu sendiri. Yang tidak pernah ada sejarah sakit jantung, tiba-tiba mengikut laporan polis mati dalam tahanan akibat sakit jantung dalam usia remaja.

Yang tidak pernah ada asma seperti A.Kugan tiba-tiba mati mengikut polis kerana asma. Yang lebih menghairankan ialah kematian akibat asma menyebabkan dari badan hingga ke kaki luka teruk seperti dicucuk dan disebat. Kematian mengikut laporan polis disebabkan sakit jantung pula menyebabkan ada kesan tusukan dan sebatan yang dahsyat. Bagi pengamal perubatan tentu punca kematian tahanan mengikut laporan polis dan kesan di badan mayat menimbulkan persoalan kerana ia sama sekali tidak sama dengan apa yang mereka pelajari dan ketahui.

Kita tidak menafikan betapa pentingnya peranan polis dalam membendung jenayah di negara ini. Cuma kita berharap biarlah proses soal siasat dijalankan berdasarkan tatacara yang tidak menampakkan polis itu lebih kejam dari penjenayah itu sendiri. Kita mendambakan kehadiran polis yang baik dan bukannya polis yang lebih ganas dari samseng seperti yang selalu kita lihat dalam filem-filem Barat, Cina dan Hindustan. Dan kita juga berharap tiada sesiapa membandingkan lokap kita dengan kem Guatanamo dan Abu Gharib yang terkenal dengan kekejamannya itu. Dan yang terakhir, jangan ada suara-suara sinis yang berkata, "Jika Dato Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pun pernah disiksa polis hingga luka parah, apa yang anda harapkan dari polis sebagai warganegara biasa yang bukan Timbalan Perdana Menteri dan bukan Menteri?"

Gambar Semasa Mayat A.Kugan Dikebumi