Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma' - Siri 2.

abuanasmadani.com on Sep.28, 2010

Kemudaratan Rokok Yang Terselindung, Ulama Dalam Dilema

REALITINYA, orang Islam tidak merokok sehinggalah sekitar tahun 1600 Masihi. Muhammad Syafiq Girbal dalam “al-Mausu'ah al-‘Arabiyyah al-Maisarah” menyebut kemasukan rokok ke negara Islam pada lewat tahun 1000 Hijrah itu pelopori oleh orang-orang Kristian.


Manakala catatan “al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah” menegaskan bahawa orang Arab tidak sekali-kali mengetahui tembakau apalagi rokok. Beliau melukiskan gerakan yang awal membawa tembakau ke negara Turki Uthmaniah ialah orang Inggeris, yang membawanya ke Maghrib ialah Yahudi, kemudian dilanjutkan ke Mesir, Hijaz, India, dan banyak negeri-negeri Islam.
Al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq melaporkan rokok mula merebak di negara Arab khususnya Maghribi, Sudan dan Mesir. Tanpa menafikan juga pada waktu itu bermulanya juga menjajahan Portugis di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia.


Saya melihat dua sebab budaya rokok cepat merebak mempengaruhi umat Islam. Pertama kerana kejayaan barat pada kurun ke 17 menerobos pemodenan hidup yang luarbiasa. Kemodenan itu memberikan stail hidup baru kepada dunia sehingga kiblat kepada sistem nilai hidup telah berpusing ke arah barat. Dalam pada itu, umat Islam telah mundur dan hilang kepimpinan dunia dari tangannya. Kemajuan diukur terhadap apa yang dicapai oleh barat. Seseorang dianggap maju seperti menyertai parti, makan dengan garpu, pakai kot, main tenis, hisap cerut dan pakai seluar pendek.
Kedua gelombang imperialisme barat khususnya ke atas bumi umat Islam ialah demi menjayakan cita-cita kapitalis dan projek melonggarkan penghayatan agama Islam. Maka golongan yang menaja dan mendokong penjajahan global ini ialah golongan elit yang memperkudakan kuasa politik. Golongan ini sangat pengaruh, berkuasa dan berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara'. Mereka mencurahkan modal yang banyak dalam pelaburan perindustrian tembakau.


Walaupun saya tidak mempunyai fakta sejarah untuk memperkukuhkan keterangan itu, namun kenyataan Mike Muller menerusi “Tabacco And The Third World” yang dipindahkan oleh Muhamad Abu Farooq al-Athari boleh dijadikan penunjuk. Mike Muller menyebut “Kesihatan rakyat di negara-negra miskin terpaksa dikorbankan demi untuk menambah kekayaan syarikat-syarikat tembakau. Orang-orang miskin menjadi “Quinea Pigs” kepada tujuh buah syarikat tembakau yang menguasai perniagaan tembakau dunia”.


Kita dapat melihat bagaimana pada peringkat awal rokok diperkenalkan hanya mengaitkan hal-hal kebaikan dan manfaat serta gaya santai orang-orang bangsawan. Kalau terdapat kelemahan dari rokok hanyalah baunya yang kurang segar. Dunia tidak dapat mengesan apa-apa keburukan rokok kurang dari 50 tahun selepasnya.


Muhammad ‘Uthman el-Muhammady menyatakan dalam bahasa Inggeris tembakau pada awalnya dikenali sebagai “tobacco”. Manakala dalam bahasa Latinnya dipanggil “Nicotania tabacum”. Kemudian, pada selepas tahun 1630an namanya menjadi “nocotiana” kerana mengambil sempena nama Jean Nicot yang menjadi duta Francis ke Portugal yang meminta supaya Permaisuri Francis mengambil berat tentangnya kerana dikatakan mempunyai khasiat sebagai ubat.


Di samping itu pengusaha rokok melancarkan promosi hebat yang disokong oleh kajian-kajian sains yang menyokong keistimewaan rokok. Mereka hanya menonjolkan kebaikannya dengan menyembunyikan kemudaratan yang besar. Contohnya mereka memanipulasikan nikotin yang digemburkan sebagai bahan organik semulajadi di dalam batang dan daun tembakau yang sangat bermanfaat untuk kesihatan manusia. Nikotin ini boleh bertindak sebagai perangsang, meningkatkan kecergasan, refleksi, kecerdasan serta daya ingatan.


Walaupun ada fakta-fakta dari pakar perubatan yang membuktikan kemudaratan rokok di samping kesan negatif terhadap sosial dan ekonomi sehingga pada tahun 1604 kerajaan Inggeris mengharamkan rokok dan memusnahkan penanaman tembakau dan kerajaan Rusia menghukumkan hukuman mati atau buang negeri ke Siberia, namun perniagaan rokok tetap diteruskan. Malah mereka melancarkan propaganda bertujuan meragukan kebenaran fakta perubatan bahaya rokok sebagai tidak muktamad dan memerlukan kajian mendalam.


Maka bila ia berkembang dalam negeri-negeri Islam ada golongan yang bependapat ianya ada mempunyai faedah-faedah yang banyak, sehingga ada yang menyatakan bahawa rokok menghadamkan makanan, menghilangkan unsur-unsur racun atau toksin dalam badan, membunug ulat-ulat dalam usus, menyenangkan keluar lendir badan, memanaskan badan kepala dan badan, meringankan selsema, menguatkan tumpuan fikiran, dan cita-cita, serta menjadikan keluar hampas badan dengan segera.
Malah Muhamad Abu Farooq al-Athari mengatakan ada yang mendakwa rokok boleh mendatangkan ilham dan inspirasi, mententeramkan perasaan, menenangkan jiwa, mengurangkan kebosanan akal fikiran dan menjadi ubat.


Mantan al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq menyebut kesan dari kekeliruan itu ada golongan yang mengambil pandangan daripada ahli-ahli perubatan dan pemikir zamannya, bahawa menghisap rokok itu pada permulaannya mendatangkan beberapa faedah pada badan, sehingga ada yang berterusan menghisap rokok sehingga jadilah selaput pada matanya, berat pada gerak geri anggota, dan penghadaman pun terganggu. Ada pendapat menyatakan menghisap rokok itu panas, menjadikan kering badan, menimbulkan rasa haus, memudaratkan kalbu dan otak, menimbulkan debaran pada jantung, dan memekatkan darah.


Hakikat yang perlu diketahui bahawa pencapaian sains, teknologi dan usaha penyelidikan umat Islam pada abad itu tersangat naif. Itu belum dikira kebergantungan kita kepada kemajuan sains dan kepakaran barat dalam mendapatkan info baru. Kesimpulannya umat Islam pada zaman itu tidak memiliki kecanggihan sains kecuali mengambil sumber dan pandangan sains dari barat. Maka dalam kedaifan itulah ulama Islam terpaksa berijtihad bagi mengeluarkan hukum rokok berdasarkan sumber umum sahaja tanpa sokongan dari penelitian sains yang menyakinkan.


Seperti yang dimaklumi, efek dari bahaya rokok tidak dapat dilihat dengan cepat atau segera. 4000 jenis racun yang ada dalam asap rokok amat bergantung kepada keaktifan mengambil rokok. Tetapi kerana unsur ketagihan yang dihasilkan nikotin menjadikan rokok sebagai tabiat yang melazimkan perokok sentiasa menghisap rokok. Secara evolusi rokok menjadi “pembunuh senyap”.
Kesan-kesan rokok ini dapat dikesan oleh manusia seawal-awalnya selepas 100 tahun perniagaan rokok didirikan. Hal ini dibuktikan dari catatan penemuan tembakau yang dilaporkan pada 1492, kemudian terus berkembang pada sekitar tahun 1556-1558 ketika mana rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia. Selepas 50 tahun rokok diperkenalkan barulah kesan buruknya dapat dilihat sehingga Inggeris, Rusia, Sweden, Denmark, Slovakia, Nimsa dan Majar mewujudkan undang-undang mengharamkan rokok.


Tiada bangkangan dari mana-mana tulisan ilmuan Islam yang sempat saya periksa yang tidak bersetuju akan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama mula membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabagh.”


Suka saya bentangkan secara ditil pandangan Dr Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam untuk rujukan kita bersama dalam perbincangan ini. Beliau menyatakan bahawa menghisap rokok tidak ada zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.
Justeru, fuqaha mampu melihat tentang hukumnya itu mengikut kadar maklumat yang ada pada mereka. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.


Sehubungan itu, tumpuan pandangan ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih banyak tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang dihisap itu dan persekitarannya. Apabila terdapat fakta yang walau belum boleh dipertanggungjawabkan menyatakan tidak ada bahaya rokok, maka sudah dipakai untuk membantu memahami rahsia rokok.
Dr Abd al-Jalil Syalabi menambah lagi; sebab itulah pada zaman itu ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara ditil, mereka tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima di bawah;

• Harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum.


• Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.


• Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya.


• Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk.


• Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.
Inilah beberapa gambaran ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan khilaf semata-mata tetapi gambaran dari kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya mereka hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka jahil mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Ulama memang pakar dalam soal ilmu agama tetapi mereka tidak memiliki pengetahuan dalam bidang sains.


Sebelum saya menoktahkan perbincangan dalam siri ini, saya menegaskan bahawa isi kandungan siri ini hanya merupakan satu usaha memahamkan kita akan realiti hukum rokok yang difatwakan pada zaman terawal tanpa berjaya disokong fakta sains. Maka hukum tersebut bukan muktamad dan tidak menjadi hujah apabila ada fakta baru yang temui dan diperakukan. Saya benar sidang pembaca menantikan siri minggu depan yang insya Allah saya bentangkan hujah ulama silam dan kontemporari.

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma' - Siri 3.

abuanasmadani.com on Sep.28, 2010

Wahai Saudaraku! - Dulu khilaf Kini Ijmak

PADA suatu ketika dulu dunia umat Islam pernah gawat dengan isu perdebatan hukum rokok. Apapun, perdebatan yang berpanjangan itu tidak menokhtahkan resolusi muktamad sehingga timbul kecelaruan dalam fikiran saya apakah sesuai diistilahkan perdebatan rokok zaman dulu sebagai “kontroversi hukum rokok”! Namun diri saya cukup yakin bahawa perdebatan ulama didasari ketaqwaan dan dilatari etika bukan kedengkian. Mereka telah meninggalkan untuk kita warisan ilmu gemilang, moga Allah s.w.t merahmati ruh mereka- amin.

Kehangatan itu saya dapat dijiwai ketika menelaah kitab-kitab mazhab yang memperdebatkan hukum sigaret. Masing-masing mendirikan hujah, tetapi ternyata kesepakatan hukum tidak tercapai jua. Umat Islam terus dilema, asap rokok terus disedut dalam kekeliruan dan rokok terus dijual dalam kesangsian.
Namun, apakah pada saat ini yang sebegini canggih dengan penemuan atom, kanser, barah, pembedahan teknologi masih menyebabkan kita berada dalam kegelapan mencari-cari keputusan muktamad hukum sigaret seperti saudara kita yang hidup di zaman kapal layar. Sungguh malang! Oleh kerana Rasulullah s.a.w telah wafat, maka umat Islam barangkali menunggu turunnya nabi Isa a.s untuk memutuskan hukum rokok. Waktu itu barulah kita berpuashati dan menyakini bahawa rokok itu haram dan barulah segala usaha pembasmian dilaksanakan seikhlasnya.


Sebab itu saya pernah berhadapan dengan golongan yang tegar mempertahankan hukum rokok sebagai harus atau paling keras hukumnya makruh sahaja kerana diqiaskan dengan bauan yang kurang menyenangkan. Malah dalam situasi terganggunya konsentrasi dan terputusnya ilham menghisap rokok menjadi wajib. Saya percaya mereka juga terkeliru. Saya juga menyakini bahawa jika mereka diberi peluang melihat kesan rokok secara praktikal dan penunjukkan data-data kajian ilmiah nescaya mereka akan bersikap lebih bijaksana, profesional dan matang. Saya tetap bersabar menunggu detik-detik dimasukkan nur hidayat kebenaran Allah s.w.t ke dalam jiwa manusia.


Saudaraku yang budiman! apakah sebelum anda menanam tembakau atau membuka kilang tembakau atau menjual rokok atau menghisap rokok pernah membuat kajian nekad untuk mengetahui hukum rokok? Jika kajian hukum telah anda buat sudahkah anda pastikan kitab zaman mana yang anda rujuk dan sudahkan membuat perbandingan secara komprehensif? Jika belum membuat rujukan, bererti anda hanya bertanya ulama, tetapi ulama yang pakai kitab mana ia dia sandarkan. Ulama itu hisap rokok atau tidak! Jika semua di atas anda tidak lakukan maka anda terlibat dalam fenonema rokok berdasar ikut-ikutan atau terpengaruh dengan budaya yang membinggungkan.


Sebelum saya membuka forum ini lebih jauh izinkan saya menyedut fatwa rokok negeri Kelantan zaman “Tok Kenali”. Alhamdulillah, keterlibatan langsung saya dalam pengeditan khazanah tak ternilai fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan saya fatwa rokok itu. Pertanyaan 202, jilid 1, berbunyi; “Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekelian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?
Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti'malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti'malkan dia (digunakan).


Jika kita mengkaji secara jujur necsaya kita menemui pangkal masalah yang kita perdebatkan ini. Hukum tembakau dan penggunaannya sebagai rokok bergantung kepada sejauh mana bencana kemudaratan pada akal dan badan manusia. Jika terbukti rokok mengancam kemaslahatan hidup maka hukumnya adalah haram. Dengan itu, saya ingin tegaskan bahawa ulama silam tidak menghalalkan rokok secara mutlak tetapi bersyarat bahawa tidak memudaratkan kemaslahatan hidup manusia. Maka sesiapa yang berhukum harus atau makruh merokok dengan menyandarkan pandangan ulama silam adalah sesuatu kekeliruan yang nyata.


Persoalannya, wajarkah sebagai seorang mukmin begitu rendah mutu penghayatan Islamnya dan tidak sudi memberikan kesungguhan mencari kebenaran. Tidakkah dihambat perasaan, dilingkungi ketakutan dan terasa sedikit bersalah sehingga mendorong kita nekad mencari sebuah kepastian. Soal halal haram makanan termasuk ibadat. Rasulullah s.a.w menyebut; “Tidak tumbuh suatu daging dari usaha yang haram melainkan neraka lah yang utama baginya” Dalam situasi yang lain, amalan dan doa kita tidak diterima oleh Allah s.w.t. Amalan itu walaupun sah kerana memenuhi rukun dan syaratnya tetapi tergantung-gantung tidak diangkat ke langit kerana beberapa asas lain tidak dipenuhi.
Saudaraku!, perdebatan dan perbincangan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabgh.” Manakala perbuatan merokok seringkali diistilah sebagai “al-tadkhin”.


Untuk rujukan saudara, sila rujuk dalam Mausu'ah al-Fiqh al-Islami, jilid 12, halaman 65-70. Karya ini berjaya mencatatkan pandangan fuqaha serta aliran mazhab Islam mengenai hukum rokok berserta dengan inti pati pendalilan. Justeru, ruangan ini terlalu sempit untuk membentangkan pandangan tersebut secara rinci. Maka izinkan saya dalam ruangan ini hanya membincangkan dalam suasana semi ilmiah dengan menumpukan mesej dan rumusan yang diperolehi.


Sebelum seseorang berpegang kepada hukum rokok, ia perlu memahami secara jelas 4 senario kematangan ijtihad rokok. Pertama; Dr. Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam menyatakan menghisap rokok tidak wujud zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.


Senario kedua ialah keupayaan fuqaha menyimpulkan hukum rokok amat terhad kepada perumusan dalil-dalil syarak yang umum. Adapun fakta sainstifik mengenai kebaikan atau keburukan rokok tidak diperolehi kecuali dari pemerhatian umum bukan pengkajian. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.


Senario ketiga ialah fokus ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang terkandung dihisap itu serta sejauh mana implikasinya kepada ekonomi dan sosial secara menyeluruh.


Berdasarkan 4 senario di atas, tabiat hukum rokok mengalami reformasi ijtihad kepada 3 peringkat perkembangannya. Peringkat pertama pada zaman permulaan kemasukan rokok ke bumi umat Islam pada tahun 1600. Peringkat kedua tercatat pada zaman pertengahan dan peringkat ketiga ialah zaman moden di mana alat-alat sains mula dicipta.


Sebagai pengetahuan, Dr. Abd al-Jalil Syalabi menjelaskan pada zaman permulaan ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara ditil, ulama tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima sama ada harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum. Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.


Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk. Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.


Inilah beberapa senario ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan dari khilaf pemahaman nas-nas syarak, tetapi manifestasi kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya ulama hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mempunyai maklumat mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia.


Manakala pada peringkat pertengahan senario ijtihad mula menampakkan kematangan dengan penyokongan dalil dari saintifik. Namun secara umumnya metodologi penyimpulan hukum syarak masih bergerak secara peribadi. Seorang alim akan berijtihad bersendirian menurut keupayaan alat-alat ijtihad tanpa khidmat nasihat secara khusus dari pakar-pakar sains berkaitan. Contoh mantan Syeikh al-Azhar bernama Syaltut (1893-1963M) menghukum rokok pada kedudukan sama ada haram atau makruh. Beliau mengingatkan bahawa senario ijtihad rokok pada zaman permulaan kemunculannya sesuatu yang tidak jelas dan muktamad. Adapun hukum yang rajih pada zaman ini ialah sama ada haram atau makruh.
Kesedaran terhadap keterbatasan serta kesilapan hukum rokok mula menonjol setelah bukti demi bukti kemudaratan rokok secara saintifik dapat dibuktikan. Mufti Mesir, Dr. al-Syeikh Ahmad al-Tayyib menyebut perbincangan hukum rokok pada peringkat silam tidak sunyi sama ada haram, harus dan makruh bergantung sejauh mana kesan kemudaratan, pembaziran dan kejelekan baunya. Namun, mutakhir ini kajian ilmiah membukti kesan buruk, bahaya dan ancaman terhadap kesihatan dalam mana-mana jua keadaan. Persatuan Kesihatan Dunia dan Persatuan Kesihatan Islam telah menghantar dokumen kemudaratan rokok kepada Majlis Fatwa. Lantas, Majlis Fatwa al-Azhar mengeluarkan kenyataan bahawa jika sabit kemudaratan rokok keatas kesihatan dan kehidupannya maka hukum rokok adalah haram secara syarak

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma' - Siri 4 (Akhir)

abuanasmadani.com on Sep.28, 2010

Kini, Islam Tiada Pilihan Kecuali Mengharamkan Rokok!

SEBELUM saya membentangkan senario reformasi fatwa semasa, setelah ulama dan umat Islam merentasi beberapa dekad yang mengelirukan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana kesudian anda berdailog dengan tenang di sini, dan memberikan ruang buat saya mengupas konflik rokok yang masih entah bila akan selesai, walaupun hukumnya telah diijmakkan. Namun, sebagai orang-orang beriman janganlah putus asa atau buntu mencari titik-titik persefahaman dan kebaikan sesama kita. Moga-moga kita semua sentiasa mendapat hidayat dan taufiq-Nya.


Saudara/ri ku yang dikasihi,


Kajian saya mendapati bahawa penemuan bahan-bahan racun rokok serta kesan kepada kesihatan manusia merentasi tiga tahap kematangan; tahap pemulaan, pertengahan dan pasca moden. Inilah faktor primer kepada latarbelakang yang secara langsung mempengaruhi reformasi hukum rokok dari kedudukan dulunya khilaf kepada muktamad atau ijmak.


Hasil perkembangan dunia yang canggih, ahli-ahli sains menemui satu demi satu kesan negatif rokok kepada kesihatan manusia secara ilmiah. Jika buku “Ensiklopedia Dunia”, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, jilid 18 halaman 347 boleh diterima sebagai antara dokumentasi berautoriti, maka kita tiada pilihan lain kecuali menerima bahawa kemudaratan rokok secara saintifik mula ditemui oleh ahli sains pada pertengahan abad ke 19.


Catatan buku ini menyebut; “Mesin pembuat rokok yang pertama dicipta 1880-an sebelum itu semua rokok digulung dengan tangan. Pada tahun 1960-an ahli sains melaporkan bahawa bahan yang dikenali sebagai tar dan nikotina yang disedut semasa merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Sejak ini banyak negara meluluskan undang-undang yang menuntut pembuat rokok melabelkan kotak dan karton rokok dengan amaran kesihatan. Iklan rokok di radio dan televisyen juga diharamkan.


Manakala Ustaz Zaharuddin Abd Rahman memindahkan kenyataan dari Mahmud Nazim, “al-Tibbun al-Nabawi Wa al-‘Ilmi al-Jadid” bahawa pada tahun 1962 Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh.


Rentetan itu, beberapa usaha mengurangkan kesan bahaya rokok telah diperkenalkan pada tahun 1970-an, rokok yang dikurangkan kandungan tar dan nikotina menjadi semakin popular. Pembuat rokok mengurangkan tar dan nikotina melalui perubahan bentuk rokok termasuklah penapis, penggunaan tembakau yang dibancuh, dan penggantian tembakau serta proses pengalihan udara yang melarutkan asap rokok.


Hari ini, pakar-pakar kesihatan dunia berjaya membuktikan secara ilmiah dalam rokok terkandung lebih 4000 jenis racun yang mengancam nyawa manusia. Antara racun paling bahaya ialah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium (-210), d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene, vinye chloride (bahan untuk membuat pvc).


Paling menyedihkan, sebelum itu pengeluar-pengeluar rokok menyembunyikan dan memalsukan hakikat kesan rokok kepada awam. Di Amerika Syarikat sebuah syarikat rokok terkenal, Liggett Group Incorporated telah membuat pengakuan dan akhirnya bersetuju untuk menyerahkan beberapa dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam-peguam anti-merokok. Dokumen-dokumen ini adalah penting sekali kerana ianya dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut buat hampir 30 tahun lamanya. Dokumen itu bukan sahaja menjelaskan kandungan racun-racun membunuh, malah nikotin yang terkandung di dalam tembakau terdiri daripada sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.
Hakikatnya, setiap sedutan rokok, perokok memasukkan ke dalam tubuhnya sebanyak 4,000 bahan kimia yang dinyatakan di atas secara senyap. Racun itu terbukti melenyapkan manusia secara global dengan evolusi. Menurut Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. H. Nakajima bahawa setiap tahun lebih kurang 10 juta manusia akan mati akibat merokok, dan 70% daripada kematian ini berlaku di negara-negara membangun.


Dalam suasana sedemikian, umat Islam sepatutnya bertanya secara jujur apakah sikap dan pendirian Islam dalam isu rokok. Masyarakat bukan Islam seluruh dunia telah berusaha sungguh-sungguh dan bertegas menyatakan kejelikan rokok kepada diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Apakah manusia yang tidak mentauhidkan Allah s.w.t itu begitu menonjol menunjukkan sikap anti rokok, sedangkan umat Muhammad s.a.w masih ragu-ragu, berpeluk tubuh dan memandang sepi akan hal-hal kemaslahatan hidup?


Apapun, senario di atas begitu kuat mempengaruhi reformasi fatwa rokok. Para ulama zaman ini tidak dapat menafikan lagi kemudaratan rokok setelah mendapat nasihat langsung dari pakar-pakar perubatan yang dipercayai.


Dalam pada itu, kecenderungan fatwa setelah memasuki pasca moden amat berbeza sekali. Kaedah mengeluarkan hukum, terutama isu kontemporari telah ditangani secara lebih profesional. Kecenderungan berhukum secara jemaah ulama diinstitusikan sehingga tertubuhnya majlis-majlis fatwa di semua peringkat negeri dan nasional. Paling membanggakan ialah tertubuhnya Akademik atau Majlis al-Fiqh al-Islami pada tahun 1981, berpusat di Jeddah yang dianggotai oleh negara-negara umat Islam (OIC). Akademik fatwa ini boleh disifatkan bertaraf internasional yang paling tinggi berasaskan penglibatan multi kepakaran.


Penglibatan multi kepakaran menjadikan intitusi fatwa lebih simple, mantap, matang, komprehensif, sekaligus berjaya menyelesaikan dilema umat Islam semasa. Sehubungan itu Dr. Yusuf al-Qardawi mengatakan fatwa secara berjemaah atau organisasi lebih utama untuk diterima pakai oleh umat Islam zaman ini, terutama berkaitan isu-isu semasa kerana nisbah kemungkinan berlakunya kesilapan itu terlalu rendah. Beliau juga menyeru umat Islam menjadikan institusi fatwa sebagai alternatif kepada sumber hukum yang semasa.


Setakat maklumat di sisi saya, tidak ada lagi negara umat Islam yang tidak mengharamkan rokok. Institusi terbesar dalam organisasi kefatwaan ialah Akademik al-Fiqh al-Islam yang berpangkalan di Jeddah secara rasmi mengharamkan rokok. Fatwa Arab Saudi melalui “al-Lujnah al-Da'imah lil Buhtuh al-‘Ilmiyyah” bernombor 15143 memfatwakan “Semua jenis rokok adalah haram. Maka segala urusniaganya juga adalah haram kerana kemudaratan yang besar keatas agama, badan dan harta. Wajiblah sesiapa yang terlibat dengan perkara ini bertaubat segera”. Di Malaysia, pada 23 Mac 1995 fatwa pengharaman rokok telah dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37.


Begitu juga Mesir, Kuwait, Syria, Sudan, Qatar, Berunai, Singapura dan lain-lain telah mengharamkan rokok secara rasmi. Resolusi pengharaman dan keadah menangani juga telah diputuskan pada peringkat hukum secara muktamad dan menyakinkan. Sama ada pihak pemerintah mahu menerima dan menguatkuasakan hukum itu atau tidak, hukum rokok tetap haram. Pada asasnya, para ulama melalui institusi fatwa telah menunaikan tanggungjawabnya di sisi Allah s.w.t.


Justeru itu, setakat pengkajian terhadap pendirian ulama kontemporari mengenai rokok, saya berani menegaskan bahawa hukum pengharaman rokok zaman ini adalah bersifat ijmak. Tidak ada lagi keraguan mahupun khilaf. Tidak ada satu negarapun dari negara umat Islam yang mengharuskan rokok waktu ini.
Begitu juga pengharaman rokok secara individu, saya mendapati ulama muktabar zaman ini telah muafakat mengharamkan rokok kecuali syeikh Atiyyah Saqar. Beliau termasuk senarai ulama terbilang dunia yang berasal dari Mesir yang masih berpegang kepada “makruh tahrim” dengan ikatan kepada 3 syarat, iaitu semata-mata menghisap rokok, terutama dalam suasana kawalan, tidak menjejaskan kesihatan secara nyata dan ketiga berkemampuan kewangan yang mencukupi dari perbelanjaan saraan dan tanggungan.


Saudara ku ! kita perlu faham “makruh tahrim” termasuk kumpulan haram juga cuma status dalil pensabitannya secara zann, iaitu tidak putus. Makruh tahrim bukan seperti kedudukan hukum makruh dalam mazhab Syafie yang bermaksud; sewajarnya ditinggalkan, manakala melakukannya tidak berdosa. Bukan dan tidak! Makruh tahrim ialah termasuk kumpulan haram, cuma dalilnya zann bukan qatie. Maka hukum rokok tetap haram dan berdosa. Sebab itu Atiyyah Saqar bertegas sebagai menolak salah faham kenyataannya dengan menyebut; “Makruh tahrim di sisi ku dalam soal ini (rokok) adalah haram tetapi dosa dan hukumannya tidak seberat dan sebesar haram mutlak”


Penegasan Dr.Yusuf al-Qardawi merupakan fakta muktamad yang menjawab segala kekeliruan ijtihad dan mengakhiri perdebatan ini. Beliau menyebut; “kekhilafan yang terjadi di kalangan fuqaha sewaktu kemunculan rokok bukanlah kekhilafan pada dalil-dalil hukum, tetapi khilaf sekitar pensabitan kemudaratan atau tidak. Mengesahkan kemudaratan pada rokok bukan bidang kepakaran fuqaha, tetapi urusan ahli-ahli sains. Kini ahli sains telah mengesahkan kemudaratan rokok. Sehubungan itu, kekhilafan hukum rokok tidak wujud lagi dan sabitlah hukum rokok itu haram”


Sejak mula lagi Islam menggariskan prinsip pemakanan yang khas, umum dan terbuka kerana ia berkaitan duniawi yang sangat asasi. Al-Bujairimi dalam kitabnya “Bujairimi ‘ala al-Khatib” mengemukakan firman Allah s.w.t, bermaksud; “Dihalalkan kepada kamu perkara-perkara yang baik-baik dan diharamkan keatas kamu perkara-perkara yang keji”. Rasulullah s.a.w pula menaskan “Tiada jenis memudaratkan (diri) dan memudaratkan (orang lain)”. Sehubungan itu ulama menetapkan keadah pemakanan; “Setiap yang memudaratkan adalah haram”


Oleh itu tiada syak lagi bidang pemakanan bukan autoriti ulama semata-mata dan dalam semua keadaan. Fungsi ulama hanya dimandatkan dalam skop nas-nas syarak sahaja. Manakala autoriti mengenal pasti zat, racun, toksid dan sebagainya dalam sesuatu makanan adalah bidang kepakaran ahli sains. Malah ulama yang merumuskan hukum tanpa merujuk kepada ahli sains dalam hal pemakanan telah melanggar etika hukum. Hukumnya tidak sah. Ulama wajib bertanya pakar menjunjung arahan Allah s.w.t, bermaksud; “Kamu bertanyalah ahli zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui”.
Akhukum,


Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah
Pensyarah KIAS
Nilam Puri, Kelantan